Formula Ajaib Tangani Pendidikan Komersial

Rate this item
(1 Vote)

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah formula ajaib diperlukan untuk menangani polemik dalam program pendidikan komersial masa kini sehingga meminggirkan golongan berpendapatan rendah.

   Titah baginda, masalah pertama yang harus diatasi kesan daripada pendidikan komersial ialah memastikan kemudahan pengajian dapat diakses oleh seramai mungkin pelajar.

   Keduanya, titah Sultan Nazrin ialah bagaimana memastikan ilmu dapat dioptimumkan penyebarannya supaya tiada pelajar yang berlatar belakangkan status sosio-ekonomi yang rendah dinafikan peluang belajar disebabkan yuran pengajian yang tinggi.

   Baginda bertitah, seterusnya ialah mewujudkan keseimbangan falsafah asal pendidikan dengan kepentingan komersial yang dilihat memberi kelebihan kepada pelajaryang berlatar belakangkan status sosio-ekonomi yang tinggi sahaja.

   "Program pendidikan komersial telah lebarkan jurang perbezaan masyarakat berpendapatan tinggi dengan masyarakat berpendapatan rendah.

   "Anak-anak dari keluarga elit mendapat tempat pengajian di universiti elit sehingga meletakkan mereka jauh ke hadapan dalam persaingan untuk mengisi jawatan utama di tempat pekerjaan yang ternama".

    "Sebaliknya membebankan keluarga berpendapatan rendah, yang terpaksa meminjam wang untuk membiayai pengajian dan setelah tamat pengajian mereka gagal mendapat perkerjaan yang baik, mungkin gaji yang sekadar cukup untuk hidup".

   "Golongan ini terperangkap dalam putaran ganas yang berpotensi meletakkan status mereka berada lebih miskin daripada sebelumnya," titah baginda dalam Istiadat Konvokesyen Kelapan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di sini hari ini.

   Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Rektor KUISAS, Tan Sri Dr. Nordin Kardi.

   Titah Sultan Nazrin, sistem pendidikan masa kini telah beralih daripada khidmat sosial yang berpaksikan kemasyarakatan kepada khidmat yang semakin condong berteraskankepada perdagangan dan keusahawanan.

   Baginda bertitah, matlamat sosial pendidikan semakin di tenggelami dengan matlamat komersial memandangkan potensi besar yang terhampar untuk mengkomersialkan program pendidikan.

   Falsafah asal program pendidikan hari ini, titah baginda semakin bertukar wajah apabila universiti terbahagi kepada klasifikasi universiti bertaraf elit dan universiti bertaraf pertengahan.

   Titah baginda, universiti-universiti elit memiliki autonomi sendiri dari segi dasar, dana, pengurusan, kurikulum, yuran pengajian dan pengambilan pelajar dan pada umumnya dimiliki oleh pihak swasta atau badan amanah yang memiliki endownment yang besar lagi bebas. 

 

Read 30796 times Last modified on Wednesday, 11 November 2015 02:39
Wednesday, 11 November 2015 00:46 Written by  In News