Berkat Muafakat Tiga Rakan Serumah

Rate this item
(1 Vote)

 

 Kuala Kangsar: Belajar bersama dan bersaing secara sihat menjadi resepi kejayaan tiga rakan serumah yang merangkul tiga anugerah kecemerlangan termasuk anugerah tertinggi sempena Konvokesyen Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) ke-8.

   Munazzahah Zulkifli, 24, menerima Anugerah Diraja manakala rakan serumahnya, Nur Amelia Zaheed, 21, merangkul Anugerah Rektor iatu Anugerah ketiga tertinggi dan Nabilatul Huda Mohd Najmuddin, 21, meraih Anugerah Terbaik Fakulti Pengajian Islam.

   Ketiga-tiga mereka menerima anugerah yang  disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Fakulti Pengajian Islam, di sini, semalam.

   Pada konvokesyen berkenaan, 478 graduan menerima diploma masing-masing.

   Munazzahah yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.95 berkata, kejayaanya itu didorong semangat mahu mencapai kejayaan terbaik selepas lapan kakak dan abangnya turut menjejakkan kaki ke menara gading.

   “Saya menjadikan adik-beradik sebagai sumber inspirasi meraih kecemerlangan dan bersyukur kepada kedua ibu bapa yang banyak berkorban termasuk melayan kerenah saya”,

   “Setiap kali menjalani peperiksaan, kedua ibu bapa saya tidak pernah lupa menunaikan solat hajat demi memastikan saya menjawab soalan dengan tenang,” kata anak bongsu daripada sembilan beradik itu.

   Katanya, dia memasang impian menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

   Nur Amelia yang meraih CGPA 3.79 pula berkata, pembabitannya dalam debat Piala Diraja Menteri Besar ketika dalam pengajian membuatkan dia sedikit ketinggalan dalam pelajaran.

   “Namun, Alhamdulillah berkat dorongan ahli keluarga dan teman serumah, saya memberi sepenuh komitmen dalam pelajaran untuk meraih anugerah kecemerlangan ini.

   “Saya berharap anugerah ini menjadi pembakar semangat meneruskan impian mencapai cita-cita menjadi peguam syariah stu hari nanti,” katanya.

   Nabilatul Huda pula berkata, meskipun bidang pengajiannya berbeza, namun dia dan dua rakan serumah lain sering mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

   “Bagus juga mempunyai rakan serumah bersaing meraih CGPA tertinggi, jadi secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk bersungguh-sunguh,” katanya.    

Read 42762 times Last modified on Wednesday, 11 November 2015 02:30
Wednesday, 11 November 2015 02:21 Written by  In News